Selasa, November 13, 2007

Fwd: MEROKOK HARAM - Fatwa yang terus dilupakan

--- In hidayahnet@yahoogroups.com, Zarina Bidin

Assallamualaikum....sekadar berkongsi pendapat

Merokok haram - Fatwa yang terus dilupakan

Di tepi kotak rokok tertera ayat peringatan ``Amaran Kerajaan Malaysia
Merokok Membahayakan Kesihatan.'' Bersempena dengan penegasan Perdana
Menteri tentang bahaya merokok ini adalah wajar juga para perokok
diberi
peringatan yang sama tentang pandangan Islam terhadap tabiat merokok.
Persoalan hukum merokok dalam Islam sering menjadi polemik para ulama
antara hukum makruh dan haram. Namun demikian, hukum sunat dan harus

terkeluar daripada perbincangan hukum mengenainya. Bagi perokok,
mereka
sebenarnya mengambil sikap eskapisme dengan mengatakannya sebagai satu
perkara yang makruh kerana perbuatan yang makruh hanya dibenci oleh
Allah
s.w.t., tidak sampai kepada hukum haram atau berdosa di sisi Allah
s.w.t.
Namun demikian, perlu diingatkan bahawa hukum makruh dan haram itu
adalah
aksiologi negatif dalam perundangan Islam. Adakah wajar kita mengambil
nilai negatif dalam menghalalkan rokok kepada diri kita?

Lebih malang, ada juga yang mengambil teori sekular egoisme untuk
mewajarkan diri mereka untuk merokok. Kata mereka, merokok memberi
kepuasan dan ketenangan diri, lagi pun mereka tidak mengacau atau
mengganggu orang lain. Ada juga muda mudi yang beranggapan
menghulurkan
rokok kepada sahabat taulan sebagai budi yang baik dan bersifat
pemurah.
Namun secara hakikatnya apa jua hujah yang diutarakan oleh mereka, ia
merupakan sejumlah alasan yang direka-reka akibat ketidakmampuan
mereka
membebaskan diri daripada ketagihan merokok akibat bahana nikotin
dalam
rokok.

Dari sudut sejarah merokok, ia boleh disingkap sehingga 4000 tahun
dahulu.
Para saintis mendedahkan bahawa penduduk tempatan di Mexico, Amerika
Tengah dan Selatan mempunyai tabiat mengunyah tembakau. Kemudiannya,
tembakau telah diperkenalkan di Eropah oleh Christopher Columbus yang
menjejakkan kakinya di benua Amerika pada tahun 1492. Tabiat merokok
berkembang pesat di Eropah terutamanya semasa Perang Crimean, Perang
Dunia
Pertama dan Perang Dunia Kedua. Kilang rokok pertama wujud di London
pada
tahun 1880.

Bagi dunia Islam, tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah
diperkenalkan secara menyeluruh oleh penjajah Barat yang beragama
Kristian, dan ia belum pernah dikenali pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpengaruh
dengan
sogokan Barat yang menjajah mereka. Pada hari ini, merokok adalah
suatu
kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga
kadangkala ia dipandang sebagai satu budaya yang elit dan
membanggakan.
Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya
dengan
budaya asing, terutamanya yang dipaparkan melalui iklan-iklan media
massa
pada suatu masa dahulu, ingin pula bergaya demi mencapai status
keunggulan
yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat merokok, suka
meniru
dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian
menguasai
anak-anak remaja kita tidak kira lelaki mahupun perempuan dewasa ini.

Kemudaratan

Rentetan daripada bahaya dan kemudaratan yang ditimbulkan oleh tabiat
merokok ini, maka pada 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa,
Majlis
Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 telah memutuskan bahawa
tabiat merokok itu adalah haram menurut pandangan Islam. Fatwa ini
disokong oleh beberapa pertubuhan termasuk Persatuan Perubatan
Malaysia
(MMA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Setelah tujuh
tahun
lebih fatwa ini diputuskan, didapati reaksi masyarakat Malaysia
khususnya
muda-mudi Islam seolah-olah tidak menghiraukan langsung fatwa
tersebut.
Semakin hari fatwa tersebut semakin dilupakan oleh masyarakat Islam
sendiri.

Secara umumnya, para ulama mengharamkan rokok dengan bersandarkan
kepada
hujah-hujah bahawa merokok boleh mengakibatkan kerosakan kepada agama,
kesihatan, alam sekitar, kewangan dan sebagainya. Rasulullah s.a.w.
bersabda : Sesiapa yang memakan bawang putih dan bawang merah, maka
jauhilah daripada kami dan masjid dan tinggallah di rumah. Ini kerana,
para malaikat terganggu dengan perkara yang menyebabkan manusia rasa
terganggu. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis di atas boleh
disandarkan
kepada akibat merokok yang menyebabkan nafas perokok berbau busuk dan
mengganggu bukan sahaja manusia biasa tetapi juga para malaikat. Jadi,
merokok memberi kesan buruk kepada hubungan interaksi manusia. Mereka
yang
suka merokok di dalam rumah akan menyebabkan malaikat rahmat tidak
tinggal
di dalam rumahnya.

Selain itu juga, kita dapat melihat perokok selalunya amat sukar untuk
melakukan ibadah puasa. Ini adalah kerana ketagihan rokok yang sukar
ditinggalkan. Mereka mampu untuk tidak minum dan makan tetapi gagal
untuk
tidak merokok. Kalau pun ia mampu berpuasa penuh dengan tidak merokok,
kebanyakan mereka akan berbuka puasa dengan merokok dahulu daripada
memilih sunah nabi menjamah buah tamar. Jelas sekali tabiat merokok
memberi kesan negatif kepada amalan keagamaan seseorang dengan memandu
nafsu supaya meninggalkan yang sunat dan mengejar yang haram. Apa yang
lebih ditakuti ialah merokok mungkin boleh menjadi titik tolak kepada
ketagihan dadah, ganja dan seumpamanya.

Selain itu, secara jelas merokok membawa kesan buruk kepada tubuh
badan.
Merokok dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti kanser,
jantung,
paru-paru dan sebagainya. Kajian sains telah membuktikan bahawa setiap
batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia
beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap
sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap
rokok
termasuklah bahan radioaktif (polonium -201) dan bahan-bahan yang
digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat
(naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas
beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di `kamar gas maut' bagi
pesalah
yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimana pun, racun
yang
paling penting adalah tar, nikotin dan karbon monoksida.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan kematian tahunan
akibat merokok di seluruh dunia telah bertambah daripada 1 juta dalam
pertengahan tahun 1960an kepada 3 juta sekarang. Jumlah ini
dianggarkan
meningkat lagi kepada 10 juta setahun menjelang tahun 2020. Jumlah
kematian yang dianggarkan ini hampir menyamai jumlah kematian orang
awam
dalam Perang Dunia Pertama.

Bahaya merokok bukan hanya membabitkan negara-negara Barat sahaja,
malah
kian mengancam dan menjadi masalah kesihatan yang paling utama di
negara-negara membangun, termasuk di Malaysia. Kesedaran tentang
bahaya
merokok semakin meningkat di Barat sehingga menyebabkan peratusan
perokok
semakin menurun. Namun sebaliknya berlaku di Malaysia, peratusan
perokok
semakin meningkat akibat kurangnya kesedaran dan kempen-kempen anti
merokok.

Selain itu, ajaran Islam secara jelas mengharamkan manusia daripada
memusnahkan diri sendiri atau orang lain. Islam melarang kita
melakukan
sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan kita dan yang boleh mengancam
kehidupan kita. Apa saja yang dimasukkan ke dalam tubuh dan urat saraf
kita hendaklah yang baik, bersih dan yang menjamin keselamatan
jasmani,
akal dan rohani kita. Firman Allah s.w.t.: Allah menghalalkan bagi
mereka
segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka yang buruk-buruk. (Al-
A'raf
: 157). Selain itu, Allah s.w.t. juga berfirman : Dan janganlah kamu
sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. (Al-
Baqarah :
195)


Mengganggu

Rasulullah s.a.w. juga bersabda : Seseorang yang beriman kepada Allah
dan
Hari Kiamat tidak akan menyakiti hati jirannya. (Riwayat Bukhari).
Tabiat
merokok kadang kala turut mengganggu dan menyakiti hati orang di
sekelilingnya. Kepulan asap yang dihembuskan perokok menyebabkan
orang di
sekitarnya merasa tidak selesa dan lemas. Alam sekitar yang terjejas
juga
merupakan pengkhianatan amanah Allah kepada umat manusia untuk
memelihara
alam dengan baik. Kitab suci al-Quran berulang kali menegaskan agar
manusia menjaga keseimbangan alam dan melarang manusia merosakkan alam
sekitar sebagaimana firman Allah s.w.t. : Dan langit dijadikannya
(membumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan
neraca keadilan. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan
keadilan. (Ar-Rahman : 7-8)

Di samping itu, merokok diharamkan kerana ia merupakan suatu aktiviti
yang
jelas mendatangkan pembaziran kewangan. Bagi mereka yang menghisap
sekotak
rokok sehari yang harganya RM5, ia terpaksa membelanjakan sejumlah
RM150
sebulan dan RM1,800 setahun dan sejumlah RM18,000 bagi sepuluh tahun.
Jumlah besar tersebut sudah tentu dapat dimanfaatkan pada perkara yang
lebih memberikan faedah kepada diri perokok dan keluarganya. Firman
Allah
s.w.t.: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara
syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur
kepada
Tuhannya. (Al-Isra' : 27). Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Allah
membenci
tiga perkara iaitu mengumpat, berjudi dan membazirkan wang. (Riwayat
Bukhari dan Muslim).

Selain itu, kebanyakan syarikat pengeluar rokok adalah kepunyaan
Yahudi.
Membeli rokok secara tidak langsung akan menyumbang kekayaan kepada
bangsa
Yahudi yang sering ingin menghancurkan umat Islam. Seandainya
segelintir
di antara kita berasa sensitif untuk tidak ke Kentucky Fried Chicken
dan
Mc Donald tatkala bumi Iraq di serang Amerika Syarikat, kenapa tidak
kita
mengambil langkah untuk berhenti menghisap rokok yang dibuat oleh
syarikat-syarikat Yahudi Amerika Syarikat?

Selain itu juga, Muhammad al-Jibaly mengatakan bahawa merokok
merupakan
perbuatan yang hampir sama dengan orang yang berada di dalam api
neraka,
yang meminum dari mata air yang panas menggelegak dan memakan makanan
dari
pokok-pokok yang berduri sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah
al-Gasiyah : 5-6.

Berdasarkan kepada sebab-sebab dan hujah-hujah yang dinyatakan,
mudah-mudahan para perokok menjadikan sempena Hari Tanpa Tembakau
Sedunia
ini sebagai titik tolak untuk menghentikan tabiat merokok. Tanamlah
keazaman yang tinggi dalam diri untuk membuang tabiat buruk merokok.
Banyak cara yang boleh diusahakan untuk membuang tabiat merokok.

Ingatlah orang yang mahu kebaikan itu akan mencari jalan, manakala
sebaliknya mereka yang cenderung ke arah keburukan itu akan hanya
mencari
alasan. Marilah kita sama-sama menghormati fatwa kebangsaan yang telah
memutuskan bahawa menghisap rokok itu adalah HARAM di sisi pandangan
Islam.

--- End forwarded message ---